Tuesday, 15 May 2018


ASAL-USUL NAMA KAMPUNG SEBIRIS, LUNDU,SARAWAK


Kampung Sebiris atau Sabiris dalam sebutan orang Salako telah dibuka lebih dua ratus tahun yang lalu. Wabak taun yang melanda pada tahun 1816 di Kampung Sedemak iaitu salah sebuah petempatan awal orang Salako di Lundu telah menyebabkan penghijrahan penduduk Salako bermula. Penduduk awal yang meneroka petempatan di kawasan Kampung Sebiris ini telah membawa bersama pecahan batu keramat dari Kampung Sedemak yang dikenali sebagai Batu Bide’. Batu Bide’ ini adalah batu yang menyerupai bide’ atau sejenis tikar yang diperbuat daripada rotan dan kulit pokok terap. Batu tersebut dipercayai digunakan oleh Binua (ketua adat) untuk upacara adat termasuklah membayar niat, menilik serta memohon bantuan kepada Jubata (Tuhan). Dengan adanya batu ini membenarkan mereka membina rumah adat utama yang dikenali sebagai Pabuisatn Guna.


Pada masa itu, petempatan yang belum bernama ini menjadi tumpuan penduduk dari kawasan petempatan Salako di  Tebaro, Serayan, Keranji, Paon, Semapu, Sebako, Titiakar, Rukam dan Jangkar kerana hanya di kawasan ini sahaja yang memiliki Rumah Adat Utama. Setiap tahun, sebulan selepas Gawai Padi satu upacara adat Salako iaitu Basansam akan dilakukan. Basansam adalah suatu upacara menghalau kuasa-kuasa ghaib yang jahat dari melanda kawasan petempatan orang Salako. Ini termasuklah menghalau penyakit, cuaca buruk dan memohon keselamatan dari musuh.


Kehadiran penduduk kawasan lain ke upacara ini dikenali sebagai bararis/babiris. Istilah ini bermaksud datang dengan membawa sumbangan. Mereka akan mengumpul rarisatn atau sumbangan dari penduduk kampung masing-masing. Perbuatan meminta sumbangan ini disebut sebagai ngararis. Antara rarisatn atau barangan yang disumbang oleh penduduk adalah seperti wang, beras, pulut, tepung, gula, gula apong, kain putih dan sebagainya ke kawasan ini. Upacara tersebut diadakan pada setiap tahun di Pabuisatn Guna ini. Lama kelamaan kawasan ini digelar sebagai Kampung Sabiris (bersama-sama datang membantu) iaitu hasil dari perbuatan babiris/bararis. Sabiris dalam erti kata lain adalah sikap saling membantu dan permuafakatan di antara penduduk.


Tidak lama selepas itu dipercayai pada pada awal tahun 1940an upacara ini tidak lagi tertumpu di Kampung Sebiris kerana setiap kampung Salako sudah mempunyai Rumah Adat Utama. Mereka menjalankan upacara ini di kampung masing-masing pada setiap tahun.


Melalui nilai murni yang dipamerkan oleh orang terdahulu, kawasan yang dirahmati ini iaitu Kampung Sebiris mendapat namanya. Namun sayang, upacara ini telah lenyap ditelan zaman dek perubahan kepercayaan. Sebahagian besar penduduk kini telah memiliki agama masing-masing. Majoriti penduduk Kampung Sebiris adalah beragama Kristian. Gereja pertama di Kampung Sebiris iaitu Chapel St. Richard mazhab Anglikan telah dibina pada tahun 1965.


Terdapat sumber yang mengatakan Kampung Sebiris mendapat nama dari sejenis pokok yang banyak terdapat di kawasan ini. Namun setelah diselidiki tiada pokok mahupun hidupan yang berkaitan dengan nama Sebiris. Maklumat tentang asal usul nama Sebiris dari perbuatan saling membantu ini diakui oleh ramai penduduk kampung sebagai satu maklumat lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi.
*sekiranya ada penambahbaikan sila komen di FB Villa Sebiris.


Orang sumber:

a.       En. Noming anak Jusi

2 comments: